jom kita same tinggatkan amalan kita dibulan yang penuh keberkataan ini..dengan mengisi masa yang terluang..dengan perkara yang berfaedah.. :)
Rasulullah amat menitikberatkan ibadat pembacaan al-Quran dan mengutamakan ia apabila masuk Ramadan. Ibnu ‘Abbas ra berkata:
“Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan
Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril
bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus
al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang
bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Melalui hadis ini Imam Ibnu Rejab menyatakan disunatkan
seseorang itu mempelajari al-Quran pada Ramadan di samping mengajak
manusia lain bersama-sama membacanya dan disunatkan juga untuk memperdengarkan bacaan kepada mereka yang lebih elok bacaannya.
“Tidak akan beroleh kefahaman bagi
sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith
Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran pada waktu malam
kerana pada waktu itu adalah masa yang tenang untuk jiwa manusia
melakukan ibadat dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya ibadat pada waktu malam
lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih baik bacaannya.” (Surah
al-Muzzammil ayat enam).
Dalam hadis lain puteri Baginda iaitu
Fatimah ra menceritakan bahawa Baginda bertadarus al-Quran bersama
Jibril sekali dan pada tahun kewafatan baginda bertadarus bersama Jibril
dua kali.”(HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Melalui contoh ditunjukkan Rasulullah
ini, maka sahabat dan ulama silam berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan
al-Quran terutama pada malam sepanjang Ramadan. Diceritakan bahawa bumi
Madinah al-Munawwarah pada malam Ramadan dihiasi dengan alunan merdu
bacaan al-Quran oleh sahabat.
Mereka memperbanyakkan dan memperelokkan bacaan al-Quran disamping menghayati maknanya, lantas dipraktikkan penghayatan itu dalam kehidupan harian mereka sebagai hamba Allah SWT.
Imam Nawawi menyatakan antara sahabat
yang memperbanyakkan bacaan al-Quran adalah Uthman bin ‘Affan, Tamim
al-Daariy dan Said bin Jubair yang mana mereka khatam al-Quran dalam
solat mereka di hadapan Kaabah pada setiap rakaat solat mereka.
Diceritakan juga Imam Syafi’e khatam
al-Quran pada Ramadan sebanyak 60 kali. Dalam Kitab ‘Aun al-Ma’bud
dinyatakan bahawa ada di kalangan salafussoleh khatam al-Quran setiap
sebulan, dua puluh hari, sepuluh hari, seminggu, tiga hari dan sehari.
Bukankah terdapat larangan mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari?
Dalam hadis Nabi SAW bersabda :
“Tidak akan beroleh kefahaman bagi
sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith
Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Jika kita melihat daripada mafhum hadis
ini maka kita akan dapati bahawa khatam al-Quran kurang daripada tiga
hari seolah-olah dilarang Nabi Muhammad SAW.
Dalam menjawab persoalan ini Ibnu Hajar
al-‘Asqalani berkata: “Telah diriwayatkan golongan salafussoleh bahawa
mereka mengkhatam al-Quran lebih cepat daripada tiga hari.
Namun, larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan kepada pengharaman. Justeru, khatam al-Quran bergantung kepada situasi sahabat dan ulama terdahulu.
Namun Imam Nawawi menyatakan bahawa kebanyakan salafussoleh akan khatam
al-Quran setiap daripada tujuh hari iaitu selama seminggu.
Perlulah untuk kita semua membaca
al-Quran dengan penuh sopan dan tertib. Seelok-eloknya bacalah dengan
adanya tadabbur, iaitu dengan menghayati setiap ayat-ayat al-Quran itu.
Walaupun sahabat mampu mengkhatam al-Quran dalam masa satu hari, tetapi mereka membacanya dengan tadabbur iaitu faham dan menghayati makna ayat tersebut.
Bagi sebahagian kita yang tidak memahami Bahasa Arab dan tidak faham
isi kandungan al-Quran maka sewajarnya kita mengubah cara pembacaan
kita.
Jika sebelum ini kita hanya membaca
al-Quran tanpa mengetahui maknanya, maka bermula pada Ramadan kali ini
cubalah untuk memahami maknanya dengan melihat terjemahan al-Quran.
Jadual baca al-Quran
- Masa khas membaca. Gunakan waktu terluang pada Ramadan ini terutama selepas solat fardu. Jika mampu mengkhatam 30 juzuk al-Quran, maka itu adalah lebih baik.
- Masa untuk tadabbur al-Quran. Disarankan membaca terjemahan mahupun tafsir al-Quran. Bagi mereka sibuk dengan kerjaya cukuplah hanya membaca terjemahan al-Quran satu muka sehari secara konsisten.
- Menggunakan masa mengulangi hafalan al-Quran. Gunakan waktu antara selepas bersahur hingga masuk Subuh untuk mengulangi hafalan surah lazim dan pendek.